Options
Analisis kewanitaan dalam karya terpilih terbitan Matba'ah Al-Ahmadiah: An analysis of womanhood in selected works published by Matba'ah Al-Ahmadiah
Dalam sekitaran masyarakat di alam Melayu yang dikuasai budaya sarat patriarki, idea agar wanita yang menggalas peranan dalam pembentukan generasi semasa dan masa hadapan supaya bersifat progresif dan sejahtera merupakan sesuatu yang menyegarkan. Salah sebuah syarikat penerbitan yang membantu dalam penyebaran wacana ini ialah Matba'ah Al-Ahmadiah yang dibangunkan pada 1895 di Singapura oleh kerabat diraja Kesultanan Riau-Lingga. Condong ke arah tradisi Islam dan pengamalan ajaran tasawuf, kumpulan kerabat diraja ini juga terkenal sebagai cendekiawan dan negarawan yang giat menulis karya-karya keagamaan dan kesusasteraan untuk syarikat penerbitan tersebut. Antara para penyumbang karya termasuk beberapa pengarang wanita daripada golongan kerabat diraja ini. Mereka terkenal sebagai penulis yang prolifik dan mempunyai tahap literasi dan intelektual yang tinggi. Ringkasnya, golongan bangsawan ini, baik pengarang lelaki dan wanita, sebagai sebahagian daripada pergerakan reformis Islam pada masa itu, memainkan peranan penting dengan mentakrifkan kewanitaan serta kaitan peranan wanita berdasarkan tuntutan keluarga dan negara, melalui persuratan Melayu pada ketika itu. Wacana dominan mereka berpusat pada konsep wanita dan kewanitaan yang agak berbeza dengan wacana umum. Soalan menarik yang menjadi perhatian tesis ini adalah, sedang pemeliharan status quo dalam bidang politik yang dikuasai lelaki merupakan corak pentadbiran istana demi pemeliharaan kuasa politik sedia ada, apakah yang menyebabkan golongan bangsawan ini yang terdiri daripada penulis lelaki dan wanita cenderung untuk mengubah citra sosial masyarakatnya dan menggalakkan pemerkasaan wanita? Sejauh manakah Matba'ah Al-Ahmadiah memainkan peranan dalam hal ini?
Kajian ini meneroka beberapa karya terpilih tulisan kerabat diraja Kesultanan Riau-Lingga yang diterbitkan oleh Matba'ah Al-Ahmadiah, Singapura, yang berfokus pada wanita, peranan dan cabaran mereka. Sedang analisis teks merangkumi sebahagian kajian ini, ulasan tentang konteks sosio-politik dan budaya yang mempengaruhi wacana ini juga membentuk bahagian penting dalam kajian ini. Karya-karya yang dipilih untuk dikaji ialah lbu di dalam Rumahnya oleh Raja Umar bin Raja Hassan (1926), Kitab Adab Al-Fatah yang diterjemah dan diadaptasikan oleh Raja Badariah binte Raja Tahir (1926), Syair Khadamuddin oleh Raja Aisyah binte Raja Sulaiman (1926) dan Syair Suluh Pegawai oleh Raja Ali Haji (1923). Untuk menganalisis karya-karya ini, kaitan antara beberapa teori dan pendekatan seperti sosiologi ilmu (Sociology of Knowledge) tajaan Karl Mannheim dan beberapa aspek pendekatan feminisme seperti kapital sosial, stratifikasi jantina, identiti dan dinamika emosi akan diserlahkan.
Pada dasarnya, kajian ini mengemukakan konsep wanita dinamis sebagai tunjang masyarakat yang ditonjolkan dalam karya-karya Melayu pilihan pada abad ke-19 bagi menyangkal pemaparan kewanitaan yang lazimnya pasif dalam kebanyakan sastera tradisional Melayu.