Doctor of Philosophy (Ph.D.)
Permanent URI for this collection
Browse
Browsing Doctor of Philosophy (Ph.D.) by Author "Aliamat Omar Ali"
Now showing 1 - 1 of 1
Results Per Page
Sort Options
- PublicationRestrictedPenyerapan kemahiran berfikir inventif dalam pengajaran penulisan di Negara Brunei Darussalam(2017)Aliamat Omar AliUsaha pemerkasaan kemahiran berfikir khususnya melalui aktiviti pengajaran dan pemelajaran dalam bilik darjah semakin diberikan perhatian mutakhir ini. Kebanyakan negara, baik yang sedang membangun apatah lagi yang sudah berstatus maju, menjadikannya sebagai sebuah objektif pembangunan modal insan dalam arena pendidikan yang utama. Selari dengan kesedaran ini, banyak rancangan dan usaha baharu dalam pelbagai bidang telah dirangka dan diperkenalkan oleh Negara Brunei Darussalam. Hal ini demikian dalam usahanya untuk mengupayakan generasi pelapis agar berkemahiran dalam bidang ini untuk mengharungi cabaran abad ke-21 dengan jaya. Di samping itu, ia adalah satu langkah untuk mencapai Wawasan Brunei Darussalam yang antara lain menggariskan objektif untuk menjadikan rakyat dan penduduk negara tersebut berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya menjelang tahun 2035. Antara perancangan dan usahanya adalah melalui pelaksanaan Sistem Pendidikan Negara Abad Ke-21 yang secara khusus dilancarkan sebagai satu jawapan nasional kepada usaha pengembangan kapasiti modal insan pada pelbagai sudut menerusi pendidikan umum. Hal ini tambah mencabar bilamana usaha-usaha terdahulu berkaitan pengembangan dan pemerkasaan kemahiran berfikir adalah pada tahap mengecewakan. Usaha-usaha pengajaran kemahiran berfikir kritis dan kreatif yang pernah dijalankan ini didapati gagal dalam pelbagai aspek dan sebagai akibatnya, projek-projek tersebut diberhentikan.
Tesis ini mengetengahkan kajian dan hasil yang diperoleh daripada percubaan menyerapkan kemahiran berfikir inventif iaitu satu dimensi kemahiran berfikir abad ke-21 yang dilaksanakan di peringkat prauniversiti di Negara Brunei Darussalam. Tergambar melalui tajuk tesis ini, iaitu: Penyerapan Kemahiran Berfikir Inventif dalam Pengajaran Penulisan di Negara Brunei Darussalam, ialah cara kemahiran berfikir inventif diserapkan melalui penyelesaian masalah dalam pengajaran penulisan khususnya prtingkat prapenulisan. Pada kajian ini, seramai 125 orang pelajar yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu di peringkat maktab rendah terlibat dalam kajian ini. 73 orang pelajar daripadanya, iaitu yang terdiri daripada peserta-peserta kajian daripada Maktab Rendah A, sebuah maktab rendah yang terletak di Bandar Seri Begawan, telah mengikuti sebuah program yang berlangsung selama 17 minggu. Program celahan yang diberikan, iaitu Program Penyerapan Kemahiran Berfikir Inventif dalam Aspek Penulisan (Bahasa Melayu) telah dibangunkan khusus untuk kajian ini. Manakala peserta kajian selebihnya yang disampel daripada dua buah maktab rendah di luar Bandar Seri Begawan, telah mengikuti aktiviti pengajaran dan pemelajaran penulisan yang biasa yang tidak mendedahkan peserta ini kepada apa-apa proses atau perkakasan kemahiran berfikir inventif. Sebagai maklumat tambahan yang utama, kajian ini dijalankan dengan menerapkan reka bentuk kajian Empat Kumpulan Solomon. Data yang dikutip adalah data kuantitatif dan kualitatif dan pengutipan data telah dijalankan secara berjujukan. Data kuantitatif yang dikutip adalah dalam bentuk markah daripada Kuiz Penyelesaian Masalah Inventif dan juga skor yang diperoleh daripada Borang Kaji Selidik Pemikiran Inventif (Bahasa Melayu). Data ini telah dianalisis menggunakan aliran analisis Braver dan Braver (1988) untuk data reka bentuk Empat Kumpulan Solomon. Selain itu, data kualitatif iaitu daripada wawancara yang dijalankan secara berkumpulan pula dianalisis secara bertematik.
Dengan menggunakan teori Perantisan Kognitif sebagai rangka kerja teoritis bagi kajian ini, kajian ini dilaksanakan dengan tujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai kesan program celahan terhadap tahap kemahiran berfikir inventif para peserta kajian selain untuk menggali dan menemukan faktor-faktor utama lagi berkaitan yang menyumbang kepada kejayaan (atau kegagalan) pelaksanaan pengajaran kemahiran berfikir inventif kepada peringkat yang disasarkan.
Ringkasnya, secara kuantitatif didapati bahawa program celahan yang diberikan telah memberikan kesan kepada tahap kemahiran berfikir inventif para peserta kajian. Hal ini disandarkan kepada pengajaran dan pemelajaran proses dan perkakasan berfikir inventif, penggunaan masalah dalam aktiviti pengajaran dan pemelajaran yang disampaikan selain kesan daripada penggunaan bahasa Melayu dalam program celahan. Walaupun demikian, di sebalik hal ini, didapati bahawa tidak ada bukti yang menunjukkan program celahan telah memberikan kesan kepada dua daripada enam dimensi Pemikiran Inventif peserta kajian iaitu dimensi-dimensi Kreativiti dan Pengambilan Risiko para peserta. Untuk hal ini, didapati dan disimpulkan bahawa kurang keberkesanan ini adalah berpunca daripada perkara-perkara berkaitan program, antaranya masa dan waktu yang terhad, faktor motivasi dan sikap peserta kajian terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu.
Diharapkan ialah semoga kajian ini dapat dijadikan panduan dan sumber rujukan kepada usaha-usaha pengembangan, pemerkasaan dan penyerapan kemahiran berfikir inventif akan datang khususnya kepada guru-guru dan juga kepada pihak-pihak yang berwewenang misalnya para penggubal dasar dan jabatan-jabatan berkepentingan di Kementerian Pendidikan mahupun institusi-institusi berkaitan dengan penyediaan latihan keguruan. Juga diharapkan ialah agar perolehan daripada kajian ini akan membuka pintu untuk kajian-kajian berkaitan pengembangan kemahiran berfikir inventif khususnya dalam kelas-kelas bahasa baik di Negara Brunei Darussalam mahupun di negara-negara lain.374 75