Options
E-kultur dan evolusi Bahasa Melayu di Singapura
Author
Mohamed Pitchay Gani Mohamed Abdul Aziz
Supervisor
Paitoon M. Chaiyanara
Abstract
Tesis ini merupakan satu kajian komprehensif ke dalam alam bahasa Melayu dari perspektif linguistik dan kebudayaan. Kajian ini memberi penekanan terhadap evolusi bahasa Melayu di Singapura khususnya dalam perkembangan bahasa Melayu selaras dengan perkembangan budaya elektronik di Singapura. Kajian ini bersifat pragmatik memandangkan ia terhasil serentak dengan penglibatan pengkaji dalam mencorek dan memantau pragmatik bahasa Melayu di Singapura.
Kajian ini merupakan satu usaha mendokumentasikan evolusi bahasa Melayu di Nusantara secara umumnya dan di Singapura secara khususnya, berlandaskan perkembangan budaya elektronik atau E-Kultur. Ia mengkaji perubahan yang berlaku terhadap bahasa Melayu secara linguistik, historis dan ekulturasi bagi menilai evolusi bahasa Melayu bermula abad ke 7 M sehingga hari ini. Unsur dalaman yang menjadi mangkin kepada kepelbagaian bentuk bahasa Melayu pula, dikaji dengan menggunakan pendekatan daripada teori evolusi Darwin yang disesuaikan secara linguistik oleh Robert P. Worden melalui teori Struktur kata beliau. Kajian ini juga bertujuan mentafsir masa depan bahasa Melayu di Singapura dengan menghasilkan satu mekanisme piawaian bahasa.
Kajian ini mengandungi 7 bab. Bab I mengetengahkan 5 hipotesis yang menjadi dasar kajian ini. Hipotesis yang menjadi mangkin kepada kajian ini ialah andaian bahawa terdapatnya satu mekanisme yang mengawal evolusi bahasa Melayu dan satu lagi mekanisme yang dapat mentafsir masa depan bahasa Melayu di Singapura.
Bab II membincangkan kajian-kajian yang pernah dijalankan terhadap bahasa Melayu di Nusantara. Setakat ini, banyak kajian yang dilakukan lebih bersifat perkembangan dan pembentukan bahasa Melayu sahaja. Pendekatan yang menilai evolusi bahasa Melayu lebih cenderung dilakukan pada zaman awal kajian iaitu abad ke 19. Bab ini merupakan reviu komprehensif terhadap penyelidikan yang pernah dijalankan terhadap bahasa Melayu sejak awal kurun ke 19 M.
Bab III mengupas perihal konsep E-Kultur dengan membahagikannya kepada dua cabang iaitu budaya atau kultur; dan elektronik. Konsep budaya dikupas berdasarkan perkembangan konsep itu sendiri sejak kurun ke 19 hingga ke hari ini. Manakala bidang elektronik pula dikupas perkembangannya sejak zaman mula terbitnya komputer sehingga terhasilnya alam siber dengan segala peralatan canggih yang direalisasikan oleh internet khususnya perisian-perisian termasuk perkembangan teknologi komunikasi terkini.
Bab IV mengupas perihal konsep evolusi secara saintifik, linguistik dan kultur. Secara saintifik merujuk kepada konsep evolusi yang diterapkan terhadap kewujudan manusia itu sendiri, khususnya pengenalan dan pengaplikasian yang pernah dibuat terhadap teori evolusi Darwin dalam bidang kaji purba. Evolusi ini dilihat daripada perspektif individu dan kumpulan sehingga melahirkan budaya. Secara linguistik pula terdapat beberapa pandangan yang memperkenalkan teori-teori tertentu yang menjelaskan perkembangan bahasa secara evolusi. Evolusi daripada perspektif kultural meninjau evolusi variasi dalam bahasa secara berperingkat-peringkat melalui peranan kultur sehingga terbentuknya sebuah masyarakat.
Bab V meninjau proses evolusi bahasa Melayu sejak bermulanya tamadun Melayu sehingga hari ini secara pergerakan diakronik berpandukan rajah pohon skema Abdullah Hassan (1994). Proses evolusi akan menyentuh cara bahasa Melayu berubah daripada bentuk asalnya kepada bentuk yang lebih kontemporari mengikut zaman dan pengaruh yang dianutinya. Evolusi bahasa Melayu di Singapura dibincangkan dengan lebih terperinci khususnya dalam perkembangan E-Kultur. Bab ini menghasilkan satu rajah pohon yang lebih konkrit sesuai dengan evolusi bahasa Melayu sepanjang sejarah kewujudannya.
Bab VI mengupas proses evolusi bahasa Melayu melalui proses evolusi secara mekanis berpandukan teori evolusi Darwin yang disesuaikan ke dalam bentuk linguistik. Teori ini memperkenalkan satu unit pewaris budaya yang dikenali sebagai 'meme'. Unsur ini merupakan kunci kepada proses evolusi dalam bahasa yang menerapkan komponen utama dalam teori evolusi iaitu replikator, mutasi dan tekanan seleksi.
Kajian ini telah mengenalpasti dua mekanisme iaitu 'EV = RMT' bagi mengawal evolusi bahasa Melayu dan '3P' bagi menentukan masa depan bahasa Melayu di Singapura yang dirumuskan dalam bab VIII.

Date Issued
2004
Call Number
PL5106 Moh
Date Submitted
2004